eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Suami YouTuber Terkenal ditahan cederakan isteri Dengan Senjata Tajam

IPOH - Suami yang juga pasangan Youtuber terkenal ditahan polis kerana disyaki mencederakan isterinya menggunakan senjata berbahaya dalam satu kejadian di pekarangan luar wad bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.54 petang itu, suspek berusia 29 tahun dalam keadaan mabuk telah membawa senjata sabit ke hospital mencari isteri dan adik iparnya berkaitan satu masalah keluarga.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan berkenaan berkaitan satu majlis di Ipoh, Isnin lalu.

Perselisihan terbabit berlanjutan sehingga suspek datang ke hospital dan dalam keadaan marah telah memukul isterinya berusia 28 tahun di pekarangan hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan siasatan awal mendapati kes berpunca daripada perselisihan faham ahli keluarga," katanya.

Tangkapan ke atas suspek dilakukan petang semalam di lokasi kejadian mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan serta Seksyen 506 akta yang sama atas kesalahan ugutan jenayah.

Polis mendapatkan tahanan reman ke atas suspek selama tiga hari, bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nabihah Mohd Noor bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.-Bernama