eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Syahmi Sazli Kasihankan pekerja beri RM1,000 seorang di hari terakhir jualan air

 


Diberhentikan tanpa notis, pengarah filem dan YouTuber terkenal Syahmi Sazli memberikan bonus sebanyak RM1,000 kepada setiap pekerja di hari terakhir perniagaan air balang miliknya.

Menerusi muat naik video di laman Facebook, YouTuber berusia 27 tahun itu mengakui kasihan dengan nasib pekerjanya selepas mengambil keputusan mengejut bagi memberhentikan jualan buat sementara waktu.

Syahmi berkata, dia menjalankan perniagaan air balang itu sejak dua bulan lalu dan kini terpaksa ‘berehat’ atas beberapa faktor antaranya bimbang jika terambil hak tempat parkir orang lain.


“Untuk hari terakhir, kita dapat sebanyak RM19,000 jualan. Malangnya kita takde rezeki untuk teruskan jualan ini selepas dua bulan.

“Setakat ini dulu selepas beberapa isu dan faktor, kita berhenti dulu. Tapi kasihan lah dekat pekerja ni sebab berhenti mengejut, biasanya ada notis. 

“Biasanya seminggu korang (pekerja) dapat RM200-RM300 kan seramai 15 orang ni. Kita bagi RM1,000 seorang, ada lah duit untuk perbelanjaan,” katanya.


Video berdurasi hampir tiga minit berkenaan memaparkan sekumpulan pekerja bersorak gembira selain menangis terharu selepas pengarah filem Mael Totey itu mengumumkan pemberian bonus tersebut.


Sejak bulan Ramadan lalu, perniagaan air balang di hadapan pejabatnya di Kubang Kerian, Kelantan diserbu orang ramai sehingga sanggup beratur panjang untuk membeli.

Bagaimanapun, Syahmi mengumumkan perkara itu semalam sekali gus menerima pujian ramai kerana mengambil kira faktor hak milik orang lain tanpa kepentingan diri sendiri.