Ads Top

Wanita Hilang RM60,000 Lesap Diperangkap Kekasih Maya


KEPALA BATAS, 25 Julai (Bernama) — Seorang juruwang wanita kerugian RM64,545 baru-baru ini selepas terjebak dengan taktik seorang lelaki dipercayai anggota sindiket Love Scam yang mendakwa dirinya dari Amerika Syarikat dan menjadi kekasih mayanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor hari ini berkata dalam kes terbaru ini, wanita berusia 43 tahun itu memberitahu dia mengenali lelaki berkenaan menerusi laman sosial Facebook sebelum hubungan mereka semakin rapat dan mulai berhubungan menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Pada awal minggu ini, lelaki itu menghubungi mangsa dan memaklumkan dia menghantar barang kemas serta wang tunai berjumlah AS$40,000 (RM164,563) menggunakan khidmat kurier sebagai tanda persahabatan mereka,” katanya di sini.

Katanya selepas dua hari, mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki yang mendakwa menjadi ejen sebuah syarikat kurier dari Johor memaklumkan barangan daripada kekasihnya itu sudah sampai dan meminta wanita tersebut membuat bayaran kos pengangkutan kira-kira RM2,700.

Beliau berkata mangsa yang mempercayai telah bersetuju membuat bayaran berkenaan dan dia juga dimaklumkan akan memperoleh hadiah serta wang tunai tersebut dalam tempoh seminggu.

Noorzainy berkata mangsa sekali lagi dihubungi ejen syarikat kurier itu dan dimaklumkan barang kemas serta wang tunai tersebut mengalami masalah pelepasan kastam dan dia diminta membuat beberapa bayaran lain.

Katanya mangsa yang masih mempercayainya membuat enam kali pemindahan wang berjumlah RM64,545 ke dalam satu akaun tempatan namun wanita itu hanya menyedari dia ditipu selepas lelaki tersebut menghubunginya dan meminta untuk membuat bayaran lagi.

“Wanita itu yang pelik dengan permintaan lelaki berkenaan kemudiannya menghubungi syarikat kurier dan kastam untuk mendapat penjelasan namun mereka memaklumkan tiada barangan untuknya. Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata semua wang yang dipindahkan itu adalah simpanan milik wanita itu dan polis kini sedang mengesan butiran maklumat akaun tempatan yang digunakan sindiket Love Scam tersebut.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Sumber: Bernama
Powered by Blogger.